Kelmarin, warga Twitter telah dikejutkan dengan trending #AdindaEvans. Pada mulanya saya juga terpinga-pinga dan tertanya-tanya siapakah Adinda Evans ini dan mengapakah beliau begitu popular sehingga menjadi trending topic di laman Twitter.
Namun setelah mendapat jawapan kepada pertanyaan saya tersebut, saya menjadi sangat terkejut. Adinda Evans adalah seorang pelajar berusia 14 tahun yang telah membuat pengakuan berani di blog peribadinya bahawa beliau sudah tidak dara dan pernah melakukan hubungan seks bersama teman lelaki beliau. Beliau seolah-olah bangga dengan keadaan dan perilaku beliau. Astarafirullahalazim..
Alangkah terkejutnya saya apabila mengetahui hal sebegini. Dan apa yang membuat saya tertanya-tanya ialah, bagaimanakah didikan dari keluarga yang diterima oleh anak gadis mentah ini. Ternyata daripada penulisan beliau, ibubapa beliau seolah-olah bagai tidak peduli akan perilaku anak mereka. daripada tulisan beliau, ternyata tiada disiplin yang diterapkan oleh ibubapa beliau kerana beliau boleh berada di luar rumah tatkala waktu sudah pun lewat malam.
Dan setelah hal mengenai beliau menjadi hangat diperbualkan, beliau telah membuat suatu kenyataan di laman Facebook beliau bahawa beliau telah dirogol oleh teman lelaki beliau.
Persoalannya kini, adakah kedua ibubapa beliau tahu akan hal ini? Adakah kedua ibubapa beliau tahu akan pengakuan anak gadis mereka ini. Kenapa gadis semuda beliau boleh dibenarkan keluar melepak dan bergaul bebas dengan lelaki?
Apabila berlakunya hal sebegini, saya mula tertanya-tanya bagaimanakah didikan yang diterapkan oleh ibubapa kepada anak remaja mereka pada zaman serba moden dan canggih kini. Masihkah sistem "curfew" relevan bagi ibubapa pada zaman kini. Atau remaja kini sudah diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menentukan cara hidup masing-masing setelah melangkah ke alam sekolah menengah.
Kini, apakah nasib yang bakal dialami oleh anak gadis yang menggunakan nama pena _AdindaEvans ini? Sayang kerana beliau baru sahaja melangkah ke alam remaja namun pemikiran beliau dan perilaku beliau telah jauh tersasar dari yang seharusnya di usia remaja seperti beliau.
Bagaimanakah hal sebegini berlaku? Pengaruh media? Pengaruh dari luar negara? Kurang perhatian dari ibubapa?
Saya secara peribadi bersimpati dengan anak gadis ini. Ini kerana pada usia dan pemikiran yang naif ini, beliau tidak mempunyai bimbingan yang diperlukan dalam membentuk beliau untuk menghadapi masa dewasa beliau.
Kebebasan media massa seperti penggunaan internet ternyata telah memberi kesan yang tidak baik kepada para remaja kita. Ini kerana para remaja cenderung meniru gaya kehidupan bebas di Barat untuk dipraktikan dalam kehidupan seharian mereka. Seharusnya kemudahan internet tanpa had ini digunakan sebaik mungkin untuk memajukan diri bukan untuk merosakan diri. Kebanyakan anak muda remaja kini gemar mempamerkan perilaku tidak senonoh mereka untuk tatapan umum di internet contoh video pergaduhan dan buli di sekolah serta video sepasang kekasih bercumbuan dihadapan sebuah pusat membeli belah terkemuka di ibukota. Adakah ini sudah menjadi budaya kita? Budaya orang Malaysia dan yang terutama sekali budaka orang Melayu?
Namun apa yang penting ialah didikan daripada rumah terutamanya didikan agama Islam. Saya tidak mahu menghukum melalui pengamatan dari penulisan anak gadis ini sahaja, namun jika dibenarkan saya membuat kesimpulan dari apa yang saya baca di ruang blog beliau, saya berpendapat bahawa ibu dan bapa anak gadis ini gagal dalam membentuk disiplin dan menerapkan unsur-unsur agama Islam di dalam diri anak gadis yang naif ini. Mungkin juga ibu dan bapa beliau tidak pernah mengambil tahu akan segala kegiatan anak beliau di luar rumah serta tidak memantau pergaulan anak beliau.
Justeru dengan itu saya menyeru agar ibu dan bapa harus lebih peka terhadap perkembangan anak masing-masing. Perkara sebegini boleh dielakan dari berlaku jika disiplin dan ilmu mengenai agama Islam diterapkan dalam kehidupan seharian. Ya, saya akui bukan mudah untuk membentuk anak remaja dan bukan mudah untuk mendidik mereka. Tapi seharusnya ibubapa harus bermula seawal mereka tahu berkata-kata lagi agar apabila semakin meningkat dewasa maka beban untuk mendidik semakin berkurangan.
Untuk adik Adinda Evans, jika terbaca penulisan ini, kakak nasihatkan supaya adik cuba berubah demi masa depan adik. Tumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran, kerana teman lelaki di usia sebegini tidak menjamin mereka akan menjadi suami kita di masa hadapan. Apa yang penting kini ialah pelajaran kerana itu bakal menentukan masa depan adik nanti. Apa yang telah terjadi, usah kita kenang lagi, tetapi kita terus kehadapan dan mulakan hidup yang baru. Tidak payah adik bermegah dengan status "bukan anak dara" adik itu, kerana apa yang akan terjadi hanyalah adik membuka pekung malu sendiri dan malu itu terpalit ke muka ibubapa adik juga akhirnya. Kakak-kakak dan sahabat-sahabat dari Kelab Beliawanis Wangsa Maju mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada adik dan semoga adik dapat menemui sinar kehidupan yang baru. Amin.