Sunday, July 31, 2011

Salam Ramadhan.

Ahlan Wasahlan Marhaban ya Ramadhan al Mubarak.

Selamat menyambut bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam. Semoga Ramadhan ini membawa keberkatan kepada kita semua.

Juga selamat menyambut bulan Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Jangan lupa kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda bangga dan bersyukur dengan kemerdekaan negara kita yang ke 54 tahun.

InsyaAllah, Kelab Beliawanis Wangsa Maju akan mengadakan program bersempena dengan bulan kemerdekaan ini.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Thursday, June 2, 2011

Adinda Evans

Kelmarin, warga Twitter telah dikejutkan dengan trending #AdindaEvans. Pada mulanya saya juga terpinga-pinga dan tertanya-tanya siapakah Adinda Evans ini dan mengapakah beliau begitu popular sehingga menjadi trending topic di laman Twitter.

Namun setelah mendapat jawapan kepada pertanyaan saya tersebut, saya menjadi sangat terkejut. Adinda Evans adalah seorang pelajar berusia 14 tahun yang telah membuat pengakuan berani di blog peribadinya bahawa beliau sudah tidak dara dan pernah melakukan hubungan seks bersama teman lelaki beliau. Beliau seolah-olah bangga dengan keadaan dan perilaku beliau. Astarafirullahalazim..

Alangkah terkejutnya saya apabila mengetahui hal sebegini. Dan apa yang membuat saya tertanya-tanya ialah, bagaimanakah didikan dari keluarga yang diterima oleh anak gadis mentah ini. Ternyata daripada penulisan beliau, ibubapa beliau seolah-olah bagai tidak peduli akan perilaku anak mereka. daripada tulisan beliau, ternyata tiada disiplin yang diterapkan oleh ibubapa beliau kerana beliau boleh berada di luar rumah tatkala waktu sudah pun lewat malam.

Dan setelah hal mengenai beliau menjadi hangat diperbualkan, beliau telah membuat suatu kenyataan di laman Facebook beliau bahawa beliau telah dirogol oleh teman lelaki beliau.

Persoalannya kini, adakah kedua ibubapa beliau tahu akan hal ini? Adakah kedua ibubapa beliau tahu akan pengakuan anak gadis mereka ini. Kenapa gadis semuda beliau boleh dibenarkan keluar melepak dan bergaul bebas dengan lelaki?

Apabila berlakunya hal sebegini, saya mula tertanya-tanya bagaimanakah didikan yang diterapkan oleh ibubapa kepada anak remaja mereka pada zaman serba moden dan canggih kini. Masihkah sistem "curfew" relevan bagi ibubapa pada zaman kini. Atau remaja kini sudah diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menentukan cara hidup masing-masing setelah melangkah ke alam sekolah menengah.

Kini, apakah nasib yang bakal dialami oleh anak gadis yang menggunakan nama pena _AdindaEvans ini? Sayang kerana beliau baru sahaja melangkah ke alam remaja namun pemikiran beliau dan perilaku beliau telah jauh tersasar dari yang seharusnya di usia remaja seperti beliau.

Bagaimanakah hal sebegini berlaku? Pengaruh media? Pengaruh dari luar negara? Kurang perhatian dari ibubapa?

Saya secara peribadi bersimpati dengan anak gadis ini. Ini kerana pada usia dan pemikiran yang naif ini, beliau tidak mempunyai bimbingan yang diperlukan dalam membentuk beliau untuk menghadapi masa dewasa beliau.

Kebebasan media massa seperti penggunaan internet ternyata telah memberi kesan yang tidak baik kepada para remaja kita. Ini kerana para remaja cenderung meniru gaya kehidupan bebas di Barat untuk dipraktikan dalam kehidupan seharian mereka. Seharusnya kemudahan internet tanpa had ini digunakan sebaik mungkin untuk memajukan diri bukan untuk merosakan diri. Kebanyakan anak muda remaja kini gemar mempamerkan perilaku tidak senonoh mereka untuk tatapan umum di internet contoh video pergaduhan dan buli di sekolah serta video sepasang kekasih bercumbuan dihadapan sebuah pusat membeli belah terkemuka di ibukota. Adakah ini sudah menjadi budaya kita? Budaya orang Malaysia dan yang terutama sekali budaka orang Melayu?

Namun apa yang penting ialah didikan daripada rumah terutamanya didikan agama Islam. Saya tidak mahu menghukum melalui pengamatan dari penulisan anak gadis ini sahaja, namun jika dibenarkan saya membuat kesimpulan dari apa yang saya baca di ruang blog beliau, saya berpendapat bahawa ibu dan bapa anak gadis ini gagal dalam membentuk disiplin dan menerapkan unsur-unsur agama Islam di dalam diri anak gadis yang naif ini. Mungkin juga ibu dan bapa beliau tidak pernah mengambil tahu akan segala kegiatan anak beliau di luar rumah serta tidak memantau pergaulan anak beliau.

Justeru dengan itu saya menyeru agar ibu dan bapa harus lebih peka terhadap perkembangan anak masing-masing. Perkara sebegini boleh dielakan dari berlaku jika disiplin dan ilmu mengenai agama Islam diterapkan dalam kehidupan seharian. Ya, saya akui bukan mudah untuk membentuk anak remaja dan bukan mudah untuk mendidik mereka. Tapi seharusnya ibubapa harus bermula seawal mereka tahu berkata-kata lagi agar apabila semakin meningkat dewasa maka beban untuk mendidik semakin berkurangan.

Untuk adik Adinda Evans, jika terbaca penulisan ini, kakak nasihatkan supaya adik cuba berubah demi masa depan adik. Tumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran, kerana teman lelaki di usia sebegini tidak menjamin mereka akan menjadi suami kita di masa hadapan. Apa yang penting kini ialah pelajaran kerana itu bakal menentukan masa depan adik nanti. Apa yang telah terjadi, usah kita kenang lagi, tetapi kita terus kehadapan dan mulakan hidup yang baru. Tidak payah adik bermegah dengan status "bukan anak dara" adik itu, kerana apa yang akan terjadi hanyalah adik membuka pekung malu sendiri dan malu itu terpalit ke muka ibubapa adik juga akhirnya. Kakak-kakak dan sahabat-sahabat dari Kelab Beliawanis Wangsa Maju mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada adik dan semoga adik dapat menemui sinar kehidupan yang baru. Amin.

Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Guru

Kelab Beliawanis Wangsa Maju ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di seluruh negara.

Sesungguhnya bukan senang untuk menjadi seorang pendidik. Amanat mendidik anak bangsa untuk menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara adalah sangat besar. Guru menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Mereka berdepan dengan seribu satu macam kerenah para pelajar dan juga ibubapa. Namun mereka masih tabah dan gigih serta berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Walaupun terdapat beberapa kes penderaan dan salah laku yang dilakukan oleh segelintir guru yang tidak bertanggungjawab namun tidak adil bagi kita menghakimi semua guru hanya dengan kesilapan guru yang tidak bertanggungjawab ini.

Raja, Menteri, Professor, ahli politik, ahli perniagaan dan apa jua pekerjaan kita pada hari ini adalah bermula dengan didikan guru.

Terima kasih kepada para guru yang telah berkorban masa dan tenaga demi mendidik anak bangsa.

Selamat Hari Guru!
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Belia

Selamat Hari Belia kepada semua Belia dan Beliawanis di Malaysia. Syukur kerana pada hari ini, kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam pembangunan negara.

Sambutan sempena Hari Belia telah diadakan di Jalan Bukit Bintang pada jam 8 malam tadi dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semoga peranan belia akan terus di iktiraf kerajaan Malaysia dan pelbagai peluang dan kemudahan serta infrastruktur mesra belia akan dibina demi menghasilkan belia yang berguna dan berkualiti demi bangsa,agama dan negara.

Selamat Hari Belia dari Kelab Beliawanis Wangsa Maju. Belia Pemangkin Transformasi!
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Saturday, May 14, 2011

Kejadian Simbah Asid

Kaum wanita di Kuala Lumpur kini dibelenggu dengan perasaan takut ekoran dari jenayah simbah asid yang kini semakin berleluasa. Penjenayah menjadikan kaum wanita sebagai sasara dan sehingga kini sebanyk 23 kes simbah asid telah dilaporkan. Kejadian terjadi di sekitar kawasan Bangsar, Titiwangsa dan terbaru di Wangsa Maju.



Modus operandi si penjenayah adalah dengan menyimbah asid ke muka sesiapa saja wanita yang dipilih secara rambang. Kejadian pertama dilaporkan melibatkan 8 pelajar sekolah dan seorang guru di SK Bukit Bandaraya, Bangsar. Selain itu terdapat e mail menyebarkan seorang wanita yang sedang berada didalam kereta beliau yang tersangkut di kesesakan lalu lintas dan membuka tingkap kereta beliau telah di simbah dengan asid tersebut.

Kejadian terbaru yang berlaku pada 13 Mei 2011 di Seksyen 10 Wangsa Maju melibatkan seorang wanita awal 30-an. Beliau yang membuka tingkap kereta beliau secara tiba-tiba disimbah dengan cecair yang tidak diketahui yang mengakibatkan pandangan beliau kabur kerana cecair yang disimbah itu terkena mata beliau. Beliau kemudiannya mendapatkan rawatan di klinik dan membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju. Nasib beliau agak baik kerana beliau tidak mengalami kecederaan serius seperti mangsa yang lain. Saspek mungkin telah menukar jenis asid yang digunakan bagi mengaburi mata pihak polis mengenai modus operandi beliau.

Dengan terjadinya kes ke 23 ini maka pihak polis telah mengeluarkan lakaran dan nombor plat motor si penjenayah. Penjenayah dipercayai menaiki motor Honda EX 5 bernombor plat WPV 4963.

 

Kelab Beliawanis Wangsa Maju dengan ini sangat khuatir akan keselamatan para beliawanis di dalam Wangsa Maju khususnya dan di sekitar Kuala Lumpur amnya. Pihak Kelab Beliawanis Wangsa Maju memohon kepada pihak polis agar segera menjalankan operasi memburu si penjenayah ini dan mengembalikan keadaan aman di Kuala Lumpur.

Kelab Beliawanis Wangsa Maju ingin menyarankan agar setiap beliawanis membawa bekalan air mineral di dalam beg atau di dalam kereta dan diletakan di tempat yang paling senang untuk dicapai. Ini kerana jika anda menjadi mangsa kepada jenayah ini, anda perlu dengan segera menyiram air ke luka simbahan tersebut bagi mengurangkan kesan melecur.

Kami di Kelab Beliawanis Wangsa Maju berharap agar semua beliawanis sentiasa berhati-hati. Semoga si penjenayah dapat ditangkap secepat mungkin dan ancaman ini dapat berakhir dengan segera.

Sunday, April 17, 2011

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdullilah, syukur kami sekalian panjatkan kepada Ilahi atas limpahan kurnia dan nikmat yang diberikan-Nya kepada kami. Kelab Beliawanis Wangsa Maju telah disahkan pendaftarannya pada 22 Mac 2011 dan dibenarkan beroperasi sebagai sebuah kelab yang sah. Namun demikian, kami di pihak pentadbiran dan pengurusan kelab diberikan tempoh 3 bulan dari tarikh disahkan untuk menjalankan Mesyuarat Agung Pertama dan menghantar laporan ke Pendaftar Kelab Belia (ROY).

InsyaAllah, Mesyuarat Agung akan diadakan dalam masa terdekat, begitu juga dengan aktiviti pertama kelab.

Dengan itu kami mulakan perjalanan kelab ini dengan lafaz 


بسم الله الرحمن الرحيم